You are currently viewing PERKESO DAN KELEBIHANNYA

PERKESO DAN KELEBIHANNYA

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan …

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971. Pada 1 Julai 1985, status PERKESO telah berubah kepada sebuah Badan Berkanun dan mulai 1 Januari 1992, PERKESO telah melaksanakan sistem saraannya sendiri iaitu Sistem Saraan Baru PERKESO. Perlindungan keselamatan sosial adalah asas yang perlu dipenuhi sebagaimana yang dipersetujui di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 iaitu Konvensyen 102; Minimum Standard for Social Security. Dalam memenuhi matlamat tersebut, fungsi utama PERKESO adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

FAEDAH PERUBATAN | Terdapat banyak kelebihan dan faedah jika membuat caruman dengan PERKESO antaranya ialah faedah perubatan. Pekerja yang ditimpa bencana pekerjaan atau menghidap penyakit khidmat boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik atau hospital Kerajaan sehingga pulih sepenuhnya.

FAEDAH HILANG UPAYA SEMENTARA | Faedah kedua ialah faedah hilang upaya sementara. Faedah Hilang Upaya Sementara dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan. Walau bagaimanapun, faedah hilang upaya sementara tidak akan dibayar pada hari di mana pekerja hadir bekerja dan dibayar gaji. Kadar harian faedah hilang upaya sementara adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM105.33 sehari.

FAEDAH HILANG UPAYA KEKAL | Faedah ketiga ialah faedah hilang upaya kekal. Pekerja yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana pekerjaan boleh memohon faedah ini. Kadar harian faedah hilang upaya kekal adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM118.50 sehari.

ELAUN LAYANAN SENTIASA | Faedah keempat ialah elaun layanan sentiasa. Pekerja yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal dan tidak berdaya dengan teruknya hingga sentiasa memerlukan layanan seseorang individu, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan. Jumlah Elaun Layanan Sentiasa adalah ditetapkan sebanyak RM500 sebulan.

KEMUDAHAN PEMULIHAN JASMANI ATAU VOKASIONAL | Faedah kelima ialah kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional. Kemudahan ini diberikan kepada pekerja yang layak dalam bentuk pemulihan jasmani termasuk fisioterapi, terapi pekerjaan, pembedahan rekonstruktif, bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat serta bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain. Pemulihan vokasional termasuk latihan dalam bidang seperti elektrikal, jahitan, membaiki radio atau television, menaip dan lain-lain. Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.

PROGRAM RETURN TO WORK (RTW) | Faedah keenam ialah Program Return to Work (RTW). Program ini merupakan program pemulihan fizikal yang disediakan kepada orang berinsurans PERKESO yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit bagi mengembalikan fungsi anggota badan dan seharusnya kembali semula ke alam pekerjaan lebih awal, sihat dan selamat. Program Return To Work dilaksanakan menerusi pendekatan pengurusan hilang upaya yang sistematik di mana setiap kes yang layak dan bermotivasi akan diuruskan oleh seorang pengurus kes yang bertanggungjawab sebagai perantara antara orang berinsurans, doktor yang merawat, majikan, pusat rehabilitasi dan pihak-pihak lain yang terlibat bagi memastikan setiap masalah dan halangan Orang berinsurans dapat diselesaikan dengan kadar segera melalui pendekatan yang terbaik.

FAEDAH ORANG TANGGUNGAN | Faedah ketujuh ialah faedah orang tanggungan. Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja terlibat meninggal dunia akibat bencana pekerjaan. Kadar harian bagi faedah ini adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM118.50 sehari.

FAEDAH PENGURUSAN MAYAT | Faedah kelapan ialah faedah pengurusan mayat. Amaun sebanyak RM2,000 akan dibayar sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat daripada bencana kerja atau semasa menerima faedah hilang upaya kekal berkala. Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris-waris yang layak. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu. Jumlah bayaran akan dibayar sama ada jumlah sebenar perbelanjaan ataupun RM2,000 mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

FAEDAH PENDIDIKAN | Faedah kesembilan ialah faedah pendidikan. Faedah Pendidikan merupakan suatu kemudahan dalam bentuk pinjaman disediakan kepada anak tanggungan sekiranya orang berinsurans meninggal dunia akibat bencana pekerjaan atau menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal.

Kesimpulannya mencarum mampu melindungi pekerja anda. Dan kesan tak langsung dari mencarum PERKESO pekerja anda pun akan bekerja dengan anda untuk tempoh yang lama dan seterusnya mengurangkan kos untuk melatih pekerja baru. Hubungi pihak PERKESO untuk dapatkan penjelasan lebih terperinci.

Berminat menubuhkan syarikat?

Leave a Reply